Wednesday, February 20, 2008

Kutipan Masih Diteruskan

Oleh : Mohd Rasul bin Amat,
Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma Sesi 2007.

Sekian lama blog rasmi Dana Syaqah PMRAM ini sunyi dari sebarang entri baru untuk dikongsi bersama para pengunjung dan penyumbang yang menantikan sebarang maklumat terkini mengenai pengumpulan dana ini. Beberapa bulan yang lalu menyaksikan kebanyakan penulis untuk blog ini berhadapan dengan peperiksaan semester pertama menyebabkan sebarang maklumat terkini agak terbatas untuk disalurkan.

Seluruh kepimpinan PMRAM pada saat ini sedang sibuk dengan persiapan bagi menghadapi Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-75 dan Muktamar Hewi PMRAM kali ke-21 pada pertengahan bulan Mac ini. Walaupun sibuk, saya selaku yang dipertanggungjawabkan dalam mengurus kemasukan dan pengeluaran Dana Syaqah pada sesi ini amat berterima kasih kepada mereka yang masih terus menghulurkan sumbangan untuk dana ini. Bahkan ketika musim peperiksaan yang baru berlalu juga terdapat dikalangan ahli yang tidak putus-putus dalam memberikan sumbangan.

Bahkan pihak kami berbesar hati kepada sesiapa dikalangan mahasiswa mahupun mahasiswi yang ingin terus menyumbang kepada Dana Syaqah PMRAM ini melalui Unit Kebajikan BKAN dan DPM. Kalian juga boleh terus menghulurkan sumbangan tersebut ke pejabat pentadbiran PMRAM ataupun ke pejabat pentadbiran HEWI PMRAM. Bagi mereka yang terlepas peluang untuk menghulurkan sumbangan melalui Derma Sumbangsih yang merupakan sub-Dana Syaqah, bolehlah menyumbang melalui sumbangan tetap Dana Syaqah. Borang boleh kalian dapatkan ditangan Unit Kebajikan BKAN dan DPM yang dilantik ataupun terus kepada PMRAM.


Untuk makluman semua penderma yang budiman, pengumpulan untuk dana ini masih lagi diteruskan di peringkat Mesir ini bahkan di Malaysia. Harapan semoga semua penyumbang yang sentiasa memahami akan tuntutan menginfakkan harta untuk kemaslahatan umat ISLAM tidak hanya menyalurkan derma semata-mata diadakan kempen sahaja. Ala kulli hal, sebarang sumbangan yang ingin diberikan boleh terus disalurkan melalui bank-bank yang telah saya fokuskan dalam entri yang lepas.

Apapun situasi yang melanda PMRAM tika dan saat ini, segala program yang telah disusun atur akan dijalankan seperti yang dirancangkan. Semoga segala perancangan untuk menyalurkan seberapa banyak kebajikan kepada anak-anak Malaysia di bumi Mesir ini bertepatan dengan perancangan ALLAH. Natijahnya akan melahirkan anak-anak Malaysia yang berbudaya ilmu yang tinggi jauh dari segala kepentingan materalistik demi menjamin tuntutan agama supaya menjadi penerus menyampai dan menyebar dakwah kepada ISLAM yang sebenar.

Harapan pimpinan PMRAM semoga setiap usaha pengumpulan dapat dilipat gandakan dari semasa ke semasa agar tujuan asal penubuhan PMRAM dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Bahkan pihak pimpinan PMRAM juga mengharapkan sebarang sumbangan idea untuk menjayakan kutipan Dana Syaqah PMRAM ini agar dipercepatkan untuk kemudahan ahli untuk mengikuti program dan aktiviti anjuran PMRAM. Sebagaimana situasi sekarang yang melarang kemasukan sebarang unsur PMRAM ke dalam rumah-rumah negeri.

Hanya ALLAH jua yang memberikan nusrah kepada kita semua dalam membudayakan tuntutan ISLAM didalam kehidupan kita sehari-hari.

Thursday, November 29, 2007

Sekalung Penghargaan Dan Terima Kasih

Oleh : Saudara Faisal Mizan Ambak.

Pengarah Ahli Jawatankuasa Bertindak Dana Apartmen PMRAM.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) masih meneruskan pencarian untuk mencukupkan jumlah kutipan untuk Dana Apartmen PMRAM mencapai sasaran sebanyak LE1,530,530. Jumlah yang cukup besar ini memakan masa sekurang-kurangnya 5-10 tahun untuk memperolehi apa yang diimpikan. Apa yang diimpikan oleh PMRAM tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menjaga dan memberikan khidmat kebajikan kepada anak-anak Malaysia yang berada di Perlembahan Nil ini. Segala penilaian terhadap sebuah persatuan yang telah sekian lama bertapak ini terletak pada kebijakan akal yang dikurniakan Allah kepada kita dalam menilai di mana kedudukan persatuan induk majoriti di bumi Mesir ini.

Dalam mensasarkan jumlah yang cukup besar ini yang memakan masa yang agak lama, PMRAM merangka 'pelan B' dengan melancarkan Derma Sumbangsih retetan dari Dana Apartmen. Pelan kedua ini dilakukan melihat kepada survival PMRAM dalam melaksanakan program semakin sukar dan menyukarkan BKAN tertentu yang dikatakan pro-pembangkang apabila diadakan program anjuran PMRAM. Sasaran untuk memperolehi sekurang-kurangnya sebuah apartmen sebagai markaz untuk melaksanakan program-program berbentuk ilmiah dan thaqafah pada awal tahun hadapan. Perkara ini tercetus memandangkan terdapat BKAN-BKAN tertentu yang dilihat mendapat tekanan daripada kerajaan negeri apabila diadakan program PMRAM.

Apa yang pihak kami harapkan selaku ahli jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan di bawah seliaan Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma PMRAM supaya usaha-usaha untuk membantu dana ini dapat diteruskan demi kemaslahatan bemsama. Sekalung penghargaan ucapan tahniah dan terima kasih buat kalian semua yang bertungkus lumus dalam membantu pengumpulan dana ini khususnya kepada mereka yang mengadakan kutipan di Malaysia ketika musim cuti yang baru berlalu. Kepada mereka yang masih menjalankan kutipan di Malaysia ataupun di mana-mana negara termasuk UK. Usaha kalian yang murni itu tidak mampu untuk PMRAM balas melainkan disandarkan segalanya kepada Allah moga keikhlasan yang lahir memberikan nusrah kepada kita kelak.


Tidak dilupakan kepada mereka yang menjayakannya di peringkat Mesir sendiri dalam menjayakan Derma Sumbangsih. Pihak kami masih meneruskan usaha-usaha memperolehi 'dana pelan B' yang masih mencari seramai 2500 orang penderma kilat untuk memperolehi LE 600,000 pada penghujung tahun ini. Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma PMRAM 2007, saudara Mohd Rasul bin Amat berharap kepada seluruh unit kebajikan di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/Mahasiswi (DPM) untuk menggiatkan usaha-usaha pencarian penyumbang untuk Derma Sumbangsih ini. Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada kalian atas bantuan yang diberikan. Moga diberikan nusrah dalam kehidupan kita dan dipermudahkan dalam segala urusan.

Dikesempatan ini juga, Ahli Jawatankuasa Bertindak Dana Apartmen PMRAM mengucapkan kepada semua ahli PMRAM dan tidak dilupakan semua yang membantu di seluruh negara yang memahami kebajikan pelajar yang PMRAM perjuangkan. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang gigih membantu di semua peringkat. Perlu diingat bahawa PMRAM itu sendiri tidaklah bergerak melainkan di atas landasan kebajikan pelajar semata-mata tanpa kaitan dengan mana-mana badan politik dan keagamaan samada kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Mesir. Selamat menjalani kuliah, semoga kejayaan milik kita bersama dan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada PMRAM tanpa terpengaruh dengan sebarang racun yang cuba untuk memecah belahkan mahasiswa mahasiswi Mesir di Perlembahan Nil ini. Sekian terima kasih.

Tuesday, November 20, 2007

Sumbangan Anda Amat Dialu-Alukan

Oleh : Mohd Rasul Bin Amat.

Ketua Badan Kebajikan Dan Tabung Derma PMRAM.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Sedar ataupun tidak hanya berbaki sebulan lebih untuk memasuki tahun yang berikutnya, 2008 sekaligus mengakhiri sesi bagi tahun 2007. Akan tetapi jumlah kutipan yang disasarkan sebanyak LE600,000 untuk memiliki sebuah pintu apartmen untuk kegunaan PMRAM sebagai markaz melaksanakan sebarang bentuk program demi kemaslahatan di masa mendatang. Jumlah terkumpul setakat ini adalah sebanyak LE200,000 yang mana masih berbaki sebanyak LE400,000 untuk dikejarkan sehingga tercapai apa yang diimpikan oleh kita bersama.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Dana Syaqah PMRAM yang ditubuhkan sedang berusaha berhempas pulas dengan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program baik di Malaysia apatah lagi di Mesir sendiri untuk memastikan sasaran untuk akhir tahun ini berjaya meringankan beban bayaran sewa yang tinggi setiap bulan untuk pejabat operasi sekarang ini. Untuk itu kepada sesiapa yang berminat untuk membantu PMRAM untuk mendapatkan dana apartmen ini boleh menyumbang terus ke dalam akaun pengarah bagi ahli jawatankuasa ini yang bernama
Faisal Mizan B. Muhammad, 810430-11-5401 melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) no akaun 13017020688083 dan juga melalui Maybank no akaun 113015136739. Insyaallah dalam masa yang terdekat ini juga akan dibuka satu lagi bank iaitu Bank Muamalat bagi memudahkan penderma-penderma untuk menyumbang.

Sayugia itu juga, sekiranya di sana terdapat sebarang masalah untuk ditanyakan bolehlah terus melalui wakil rasmi PMRAM di Malaysia melalui
Ustaz Nizam B. Mohd Noh di talian +60195186401. Bagi sahabat-sahabat yang berada di luar negara dan di Mesir pula boleh terus bertanyakan ke emel PMRAM di pmram30@yahoo.com ataupun terus berhubung melalui Yahoo Messenger dengan menggunakan emel yg sama. Manakala bagi sesiapa yang berkehendakkan kepada Proposal Pemilikan Apartmen PMRAM ini boleh dapatkannya dengan memuat turun melalui laman web PMRAM di www.pmram.org dalam dwi-bahasa Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Insyaallah dalam masa terdekat anda boleh dapatkannya dalam versi Bahasa Arab pula. Semoga dengan usaha yang semampu ini dan sumbangan yang kalian semua curahkan mendapat limpah rahmat dari Allah dan dikira sebagai sebuah amalan yang bisa menyelamatkan jasad dari percikan api neraka yang amat pedih.

Tuesday, November 6, 2007

Projek Mencari Tiga Ribu Penderma Untuk LE 600,000 Dilancar

Oleh: Mohd Rasul Amat,
Ketua Badan Kebajikan Dan Tabung Derma PMRAM.

Apartmen ataupun syaqah pemilikan PMRAM yang disasarkan pada penghujung tahun 2007 ini merupakan suatu objektif terpenting yang ingin dicapai oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Ini adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahli berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancangkan. Kutipan dana apartmen terkumpul setakat ini yang telah menjangkau LE 70,000.00 dirasakan tidak mampu untuk memastikan survival perjalanan segala program dan aktiviti PMRAM dapat berjalan dengan sebaiknya. Disebalik usaha dan pelbagai perkara yang telah dan sedang dilaksanakan, PMRAM memikirkan formula lain untuk memastikan keberjayaan memiliki sebuah apartmen sekurang-kurangnya untuk memudahkan perlaksanaan program dimasa mendatang jika difikirkan dari pelbagai sudut.

Oleh yang demikian, setelah sekian lama merangka dan merancang untuk menjana kemasukan dana apartmen supaya pemilikan pusat beroperasi dan perlaksanaan segala program yang dirancangkan lebih efektif, PMRAM berdasarkan mesyuarat Badan Pengurus dan HEWI PMRAM pada 6 September 2007 telah melancarkan DERMA SUMBANGSIH DANA SYAQAH PMRAM yang mana mensasarkan sebanyak LE 600,000 yang akan disumbangkan oleh ahli-ahli PMRAM seramai 3,000 orang yang masih berada di Perlembahan Nil ini.

PMRAM akan cuba untuk mendapatkan derma dan sumbangan daripada 3 ribu orang ahli PMRAM yang mana setiap seorang akan menyumbangkan LE 200.00. Ini bermakna sekiranya PMRAM berjaya mendapatkan sumbangan LE 200.00 daripada 3 ribu orang para dermawan, hasil derma yang akan diperolehi adalah sebanyak LE 600,000.00.

Derma ini tidak lain adalah semata-mata untuk memastikan sasaran PMRAM untuk memiliki sebuah apartmen tercapai. Derma yang baru dilancarkan ini bukanlah berbentuk suatu paksaan kepada ahli. Walaubagaimanapun, PMRAM sangat menggalakkan para ahli bersama-sama menjayakan projek DERMA SUMBANGSIH DANA SYAQAH PMRAM dengan cara menghulurkan sumbangan yang akan dikira sebagai amal kebajikan yang bakal memberatkan neraca timbangan pahala di akhirat kelak.

Selain itu juga, usaha-usaha kutipan untuk Dana Syaqah yang giat dilakukan oleh sahabat-sahabat yang pulang ke Malaysia diharap masih berterusan di samping pelbagai sumbangan lain yang diharap mampu merealisasikan hajat PMRAM untuk memiliki sebuah pejabat dan dewan bagi meringankan dan menjimatkan pengeluaran wang PMRAM.

Dalam masa yang sama, pengeluaran wang PMRAM yang sehingga ke hari ini terpaksa dikeluarkan bagi menanggung kos sewaan pejabat yang tinggi sedikit sebanyak merencat usaha-usaha PMRAM membantu kebajikan ahli dengan lebih efektif. Walaupun di sana terdapat banyak halangan dari pelbagai sudut untuk memastikan ketidakberjayaan segala program yang disusun, pihak PMRAM juga tidak akan membiarkan segala perancangan yang disusun rapi itu digagalkan walau dengan apa cara sekalipun.

Oleh yang demikian itu, kepada sahabat-sahabat yang ingin menghulurkan sumbangan untuk DERMA SUMBANGSIH DANA SYAQAH PMRAM ini bolehlah dapatkan borang khas yang akan diserahkan pada Yang Di Pertua, Pengerusi atau Unit Kebajikan BKAN dan DPM masing-masing atau boleh dapatkannya terus di pejabat PMRAM dan Markaz HEWI PMRAM melalui Badan Pengurus dan AJKT HEWI yang bertugas. Anda juga boleh terus mendapatkannya pada saudara Mohd Rasul Bin Amat selaku Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma PMRAM saudari Rosmaizan Bt Ramli selaku pemangku Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma HEWI PMRAM.
Harapan kami semoga pelancaran derma kilat DERMA SUMBANGSIH DANA SYAQAH PMRAM ini sedikit sebanyak memberikan sinar harapan agar impian kita bersama untuk mendapatkan apartmen operasi PMRAM akan berjaya.

Adakah Anda Sudah Daftar Sebagai Penyumbang Tetap Dana Syaqah PMRAM?

PENAUNG:
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR

PENYELARAS:
1. BADAN KEBAJIKAN DAN TABUNG DERMA PMRAM
2. UNIT KEBAJIKAN DAN TABUNG DERMA HEWI PMRAM
3. UNIT KEBAJIKAN DAN TABUNG DERMA BKAN DAN DPM



TARGET LE 1,530.530.00

Kutipan dana apartmen terkumpul setakat ini yang telah menjangkau sebanyakLE 200,000.00